29 Mei 2021 / 17 Syawal 1442H

Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) melahirkan rasa kesal dengan sidang media Prasarana pada 25 Mei 2021 yang dikendalikan pengerusinya ketika itu, yang dilihat tidak serius berhubung insiden kemalangan yang membabitkan pertembungan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara baru-baru ini.

Penamatan khidmat beliau kurang daripada 24 jam dari sidang media tersebut adalah langkah tepat, demi menjaga imej syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) itu.

Melihat kepada situasi ini, MFP berpandangan bahawa jawatan pengerusi Prasarana dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak semestinya dilantik di kalangan ahli politik, tetapi mestilah diberikan kepada individu yang benar-benar layak yang mungkin juga di kalangan ahli profesional atau teknokrat.

GLC adalah syarikat yang bermotifkan keuntungan di samping mempunyai tanggungjawab sosial, maka proses pemilihan kepimpinannya perlulah diberi perhatian sewajarnya dan telus agar mereka yang dilantik benar-benar berwibawa dalam menjalankan tugas untuk kepentingan awam berdasarkan bidang berkaitan syarikat berkenaan.

Sehubungan dengan itu juga, MFP terus melahirkan kebimbangan terhadap perbuatan rasuah dan salahguna kuasa di dalam mana-mana institusi samada sektor awam atau swasta jika tampuk kepimpinan dikuasai oleh individu yang tidak mempunyai kompetensi dan integriti.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sesungguhnya kekuasaan itu adalah amanah. Pada hari Kiamat nanti, ia akan berubah menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haq dan menunaikan apa yang diamanahkan di dalamnya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Maka, wajarlah setiap pemimpin itu mempunyai sikap amanah, bertanggungjawab dan prihatin dalam mengurus organisasi, pekerja dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat dan negara.


Ahmad Nizam Samsudin

Hosted at Hostnotion – custom domains for Notion